Konvokesyen Hospital Mesra Ibadah
SEREMBAN: Konsep perkhidmatan Hospital Mesra Ibadah (HMI) wajar diperluaskan dalam usaha membantu pesakit mendapatkan rawatan terbaik dari pelbagai aspek.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata hospital bukan hanya tempat untuk merawat fizikal, psikologi dan mental pesakit, tetapi aspek kerohanian juga perlu ditekankan.
Katanya, beliau dimaklumkan konsep HMI telah diperkenalkan pertama kali pada 2004 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebelum diangkat oleh Hospital Pakar Al-Islam pada 2006, seterusnya menjadi program rasmi di Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2014.
"HMI dilaksanakan secara baik di hospital KKM sama ada yang mempunyai pegawai kader agama yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu memberi sokongan.
"Usaha murni ini sangat memberi kesan kepada setiap hospital dalam melaksanakan program berkenaan dan yang penting membantu pesakit dari aspek kerohanian.
"Bagaimanapun hanya terdapat seorang atau dua orang sahaja kader JAKIM ditempatkan di hospital tertentu, maka peranan untuk mengangkat konsep HMI dilihat masih terbatas," katanya ketika merasmikan Konvensyen HMI Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Yayasan Negeri Sembilan Muhammad Nazri Kassim dan Timbalan Pengerusi Akademi HMI Kuala Lumpur, Dr Suhaimi Abdul Halim.
Aminuddin berkata, difahamkan terdapat 55 daripada 114 hospital KKM sahaja yang mempunyai kader JAKIM dan keseluruhannya 66 orang kader termasuk di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kader ini perlu dibantu oleh pihak berwajib dalam melaksanakan HMI termasuk dari segi keperluan bajet.
Katanya, usaha Yayasan Negeri Sembilan (YNS) yang menganjurkan konvensyen HMI ini diharap dapat membuka mata semua pihak mengenai pentingnya penerapan HMI di hospital.
Di Negeri Sembilan, katanya, terdapat tujuh hospital kerajaan, namun hanya Hospital Tuanku Ja`afar Seremban dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah sahaja yang mempunyai kader JAKIM.
"Selain itu, hospital swasta juga diharap dapat mengambil konsep HMI ini ke dalam pengurusan mereka dan menerapkannya kepada kakitangan serta pesakit kerana ia adalah amat baik dan positif," katanya.
For more info visit our facebook https://www.facebook.com/hospitalislam/