Ziarah Ramadan 2025 meneruskan misi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat menerusi jalinan kerjasama jariah bersama Al-Islam Specialist Hospital, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Malaysian Relief Agency (MRA) ke Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia yang terletak di Sungai Sekamat, Kajang, Selangor pada 6 Mac lalu bersamaan 5 Ramadan 1446H.
Berkeluasan kira-kira satu ekar, kompleks jagaan warga emas yang kini diterajui Nurul Atikah Mohd Azmi, juga merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia dikatakan mampu menempatkan lebih 100 orang penghuni pada satu-satu masa.
Dalam ucapanya, Nurul Atikah sempat berkongsi pembabitannya dalam segmen penjagaan warga emas itu selepas mengikuti jejak langkah arwah bapanya yang sebelum ini komited memperjuangkan nasib golongan insan yang sebatang kara serta memerlukan sokongan kesihatan dan sebagainya.
Delegasi Ziarah Ramadan 2025 yang diketuai Dr Ishak Mas’ud bersama wakil-wakil dari MRA, ABIM termasuk kakitangan Al-Islam Specialist Hospital turut di bawa meninjau ke ruangan pertanian yang diwujudkan oleh penyumbang-penyumbang kepada Pusat Jagaan Al-FIkrah termasuk penanaman sayur serta pembiakan ikan tilapia.
Bukan itu sahaja, penghuni uzur turut diziarahi delegasi Ziarah Ramadan 2025 selain Dr Ishak sempat memberi nasihat serta cadangan kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah ke arah penambah baikan khususnya daripada segi pelaksanaan ibadah ketika sakit termasuk aktiviti-aktiviti yang sesuai dilakukan penghuni pada waktu lapang selain penjagaan kesihatan para penghuni.
Sumbangan berbentuk wang tunai selain barangan keperluan asas lain disampaikan kepada Pusat Jagaan Al-FIkrah dan berharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos pengoperasian yang ditanggung mereka.
Disediakan oleh
Unit Korporat
Al-Islam Specialist Hospital









