Nombor Kecemasan: +603-2693 1007

Ziarah Ramadan 2025 : Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM)

Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) Semenyih, Selangor menjadi lokasi pertama program Ziarah Ramadan 2025 selain bakal membuka lembaran baharu dalam usaha perjuangan ke arah membina ummah yang unggul.

Sesi ‘flag-off’ pelepasan konvoi Ziarah Ramadan 2025 di Al-Islam Specialist Hospital yang terletak di Kampong Baru, Kuala Lumpur bermula kira-kira jam 2.30 petang pada 3 Mac lalu sebelum konvoi kemudiannya bergerak menuju ke PJMM yang terletak di Jalan Bangi Lama, Semenyih.

Ketibaan konvoi di PJMM kemudiannya disambut Setiausaha PJMM Muhammad Syafiq Mohiadin serta warga pengurusan PJMM.

Merujuk kepada lembaran baharu yang bakal tercipta, PJMM berhasrat untuk menjadi pusat jagaan warga emas berkonsepkan mesra ibadah dan tujuan itu bakal direalisasikan dengan sokongan daripada Al-Islam Specialist Hospital menerusi Academy Mesra Ibadah.

Pengarah Hospital Al-Islam Specialist Hospital, Dr Ishak Mas’ud yang hadir sama pada program berkenaan berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan idea yang dijanakan kepemimpinan PJMM mengikut kemampuan dan pengalaman yang dimiliki Al-Islam Specialist Hospital sebagai perintis hospital mesra ibadah di Malaysia.

Untuk rekod, Ziarah Ramadan 2025 merupakan Program Jalinan Kerjasama Jariah membabitkan tiga agensi termasuk Al-Islam Specialist Hospital, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Hadir sama dalam program itu Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin, Setiausaha Agung ABIM Aliemran Norasid, Naib Presiden 1 MRA Khairil Annuar Khalid dan Setiausaha Agung MRA Dr Shahrizal Azswan Samsudin.

Turut hadir, Pengurus Jenama Zayan FM Wan Syahrul Amry Wan Mansor, kakitangan Al-Islam Specialist Hospital serta ahli-ahli MRA dan ABIM.

Ziarah Ramadan 2025 kali ini turut menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai selain barangan keperluan asas lain dan berharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos pengoperasian yang ditanggung PJMM.

Disediakan oleh

Unit Korporat

Al-Islam Specialist Hospital

#hospitalmesraibadah 

#hospitalpilihankeluarga



Need Help Or Have a Question?

We're here to help , feel free to reach out