Selasa, 29 April 2025 – Bermula dengan cetusan idea untuk menjadikan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) bersifat mesra ibadah, hasrat itu akhirnya semakin hampir direalisasikan dengan kerjasama Hospital Pakar Al-Islam menerusi Akademi Hospital Mesra Ibadah.
Menyoroti kembali langkah awal PJMM yang terletak di Bangi Lama, Selangor itu untuk menjadi pusat jagaan warga pertama di negara ini yang berkonsepkan mesra ibadah, Setiausaha pusat jagaan berkenaan, Encik Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, pihaknya sudah lama ingin merealisasikan hasrat itu namun tidak menemui platform yang sesuai.
“Namun, menerusi program Jalinan Kerjasama Jariah Ziarah Ramadan 2025 pada Ramadan lalu membuka lembaran baharu kepada PJMM sekaligus menjadikan kami berada di platform yang betul untuk memperkasakan idea ke arah pusat jagaan warga emas berkonsepkan mesra ibadah.
“Alhamdulillah, hari ini (semalam) Akademi Hospital Mesra Ibadah mengorak langkah besar dalam memperkenalkan asas-asas yang perlu kepada petugas PJMM ke arah pelaksanaan misi menjadi pusat jagaan warga emas mesra ibadah di negara ini,” katanya.
Program Bengkel Pemantapan Penjagaan Warga Emas : Sejahtera Fizikal, Mental dan Spritual semalam dikelolakan Akademi Hospital Mesra Ibadah yang diketuai Ustazah Nurul Aisyah Amir Ramli.
Bengkel berkenaan dihadiri petugas-petugas serta sebahagian penghuni PJMM dan hadir sama, Pengarah Hospital Pakar Al-Islam, Dr Ishak Mas’ud yang turut memberi taklimat serta penerangan berhubung kaedah penjagaan warga emas secara holistik.
Antara pengisian bengkel berkenaan adalah mencakupi teknik penjagaan kesihatan dan spiritual kepada penjaga selain kepentingan kebersihan serta keselamatan dalam penjagaan warga emas.
Selain itu, Akademi Hospital Mesra Ibadah juga tampil dengan elemen teori dan praktikal sekaligus memberi nilai tambah kepada penjaga PJMM ke arah pusat jagaan warga emas berkonsepkan mesra ibadah yang pertama di Malaysia.
Hadir sama Pengurus Jabatan Kejururawatan, Matron Suzal Ashima Sulaiman dan Pengurus Jabatan Pembangunan Klinik dan Rekod Perubatan Pn Mastura Ahmad.
Semoga usaha ini memberi manfaat kepada ummah dan mendapat keredaan Allah SWT.
Disediakan oleh
Unit Korporat
Hospital Pakar Al-Islam






